Pengantar Penterjemah
Bersyukur kepada Allah SWT kerana akhirnya kami dapat juga menyelesaikan penterjemahan buku Mengapa Aku Memilih Ahlul Bayt AS? karangan Syaikh Muhammad Mar'i al-Amin an-Antaki, seorang bekas Qadhi Besar Mazhab Syafi'i di Halab, Syria, meskipun menghadapi beberapa kesulitan. Dengan ini ianya akan memberi pendedahan secara akademik terhadap permasalahan yang dipertikaikan di antara Sunnah dan Syi'ah berdasarkan buku-buku Ahlus Sunnah sendiri. Apatah lagi di akhir-akhir ini, lebih 20 buah buku yang bersifat anti Syi'ah telah diterjemahkan ke dalam bahasa Malaysia. Buku-buku tersebut telah ditulis oleh musuh-musuh Syi'ah terutamanya dari kalangan Wahabi yang menyamar sebagai Ahlus Sunnah.
Buku-buku tersebut telah meracuni fikiran orang ramai dan sebahagian para ulama yang tidak luas wawasan dan pemikiran dengan mengkafirkan Syi'ah secara umum kerana mencaci para sahabat, Syi'ah mempunyai al-Qur'an yang lain?, ketiga-ketiga khalifah telah merampas jawatan khalifah daripada Ali AS dan lain-lain. Sebenarnya "aqidah" bahawa para sahabat yang meyalahi perintah Allah dan RasulNya dengan melakukan pencurian, perzinaan, peminuman arak, perjudian, penipuan, pembohongan, pengamalan rasuah dan pencacian terhadap Nabi dan lain-lainnya, sebagai adil, thiqah boleh dipercayai dan menjadi contoh, adalah "aqidah" yang bertentangan dengan al-Qur'an dan Sunnah RasulNya. Oleh itu Allah dan RasulNya menolaknya, para sahabat sendiri menolaknya; al-Bukhari dan Muslim menolaknya. Kerana mereka berdua telah mencatat keburukan sebahagian para sahabat di samping kebaikan mereka di dalam Sahih-sahih mereka. Tetapi kita Ahlus Sunnah kurang mengetahuinya. Dan apabila dikemukakan kepada kita catatan tersebut, kita menakwilkannya atau menolaknya kerana aqidah "keadilan atau kekebalan para sahabat di sisi hukum Allah dan Sunnah RasulNya" dengan alasan ijtihad telah menular di dalam pemikiran kita.
Justeru itu al-Bukhari dan Muslim umpamanya, telah mencatat para sahabat yang menyalahi perintah Allah dan RasulNya. Malah mereka juga mencatat para sahabat yang mencaci Nabi SAWAW. Tetapi jika difahami bahawa catatan mereka itu sebagai perbandingan di antara Sunnah Rasul dan Sunnah sahabat dan bukan sebagai cacian terhadap sahabat, maka ianya juga mesti dilakukan terhadap Syi'ah. Justeru itu Syi'ah tidak mencacu sahabat sebaliknya menerangkan hakikat sesuatu berdasarkan nas. Justeru itu penyelesaian mengenai sahabat boleh dilakukan secara akademik yang berteraskan nas. Tetapi kita Ahlus Sunnah tidak ingin menyelesaikannya kerana kita menyedari bahawa setiap kajian yang dilakukannya, akan mendedahkan percanggahan "aqidah" kita mengenai sahabat umpamanya dengan hakikat sebenar.
Bagi menutup hakikat ini, sebahagian kita meneruskan propaganda "Syi'ah mencaci sahabat". Dengan ini mereka dapat menyemarakkan sentimen dan kemarahan orang ramai serta pihak penguasa supaya membenci dan menentang Syi'ah dengan pelbagai cara. Mereka tidak lagi menghormati ilmu. Oleh itu adakah sentimen dan kemarahan yang berasaskan "aqidah" yang bertentangan dengan al-Qur'an itu patut dilayani atau pemikiran yang berasaskan keilmuan menurut al-Qur'an itu harus ditentangi? Adakah sama orang yang mengkaji dengan fikiran yang terbuka dengan orang yang tidak mahu mengkaji dengan fikiran asabiyahnya?
Lantaran itu sebahagian kita terus memandang Syi'ah Ja'fariyyan sebagai kafir atau sesat dan ianya disokong pula oleh sebahagian pegawai-pegawai agama. Sepatutnya kita memandang orang Islam bersaudara serta memberi hak yang sewajarnya. Apatah lagi Rektor-rektor Universiti al-Azhar seperti Syaikh Syaltut, Salim al-Busyra, Muhammad al-Fahham, dan Abdul Halim Mahmud telah memberi fatwa-fatwa mereka yang masyhur tentang sahnya berpegang kepada mazhab Syi'ah Imamiah Imam 12 atau dikenali dengan mazhab Ja'fari.
Perhatikanlah sebagai contoh, hak-hak yang diberikan oleh saudara-saudara kita Syi'ah kepada mazhab Ahlus Sunnah kita dan lain-lain sekalipun banyak hukum-hukum dan aqidah-aqidah di dalam mazhab-mazhab tersebut menyalahi nas. Perkara 12 di dalam Perlembagaan Republik Islam Iran menyatakan:
"Ugama rasmi bagi Republik Islam Iran ialah Islam dan mazhab Ja'fari Imam 12. Adapun mazhab-mazhab Islam yang lain yang terdiri dari mazhab Hanafi, Syafi'i, Maliki, Hanbali dan Zaidi semuanya menikmati kehormatan sempurna. Dan pengikut-pengikut mazhab-mazhab tersebut pula bebas mengerjakan upacara-upacara keislaman mereka menurut fiqh mereka. Malah mazhab-mazhab tersebut diambil kira secara rasmi di dalam pengajaran, pendidikan Islam, undang-undang keluarga (perkahwinan, talak, pusaka, dan wasiat) dan perkara-perkara yang berkaitan dengan penghakiman. Dan setiap kawasan pengikut-pengikut salah satu dari mazhab-mazhab tersebut menikmati suara majoriti. Kerana hukum-hukum tempatan bagi kawasan tersebut menurut kemuslihatan majlis-majlis syura tempatan adalah sejajar dengan mazhab tersebut. Di samping menjaga hak-hak pengikut-pengikut mazhab-mazhab lain."
Ini menunjukkan kemampuan mazhab Ja'fari menjadi induk kepada mazhab-mazhab lain kerana tradisi ilmu dan aliran pemikiran mazhab-mazhab lain dihormati oleh para ulama mereka, dengan memberi kebebasan yang sewajarnya. Kita belum dapati di dalam dunia Sunni kita sebuah negara yang mengamalkan sistem satu mazhab, memberi kebebasan kepada mazhab-mazhab (Sunni) yang lain di dalam pelajaran, nikah kahwin, talak, undang-undang keluarga dan lain-lain sebagaimana telah diberikan oleh mazhab Ja'fari di Iran.
Ini disebabkan oleh kesempitan pemikiran kebanyakan para ulama kita apatah lagi mereka terlalu fanatik kepada mazhab yang dianuti tanpa kajian yang jujur dan mendalam meskipun terhadap mazhab sunni yang lain. Lantaran buku ini akan menerangkan hakikat sebenar secara akademik dan ianya sebagai perbandingan di antara buku-buku karangan musuh-musuh Syi'ah dan buku-buku karangan Syi'ah sendiri. Dan iannya juga ditulis berdasarkan pengalamannya, di samping hujah-hujah dari al-Qur'an, Sunnah dan Sejarah. Rujukan-rujukan utamanya adalah diambil dari buku-buku Ahlus Sunnah wal-Jama'ah. Oleh itu sekiranya para ulama Ahlus Sunnah kita berbohong di dalam catatan mereka mengenai keburukan sebahagian sahabat atau sahabat menyalahi nas, maka merekalah yang berdosa, dan mereka pula tidak boleh dipercayai lagi. Dan sekiranya apa yang dicatatkan oleh mereka itu benar, kenapa kita tidak mahu menerima hakikatnya? Dan kenapa cacian dan kemarahan pula ditujukan kepada Syi'ah?
Semoga saudara-saudara kita Ahlus Sunnah dan saudara-saudara kita yang bermazhab Wahabi yang bermusuhan dengan Syi'ah membaca buku ini sehingga selesai kemudian membuat penilaian yang adil. Dan kepada mereka kita ingin mengungkapkan kata-kata khalifah Ali AS:
"Manusia menjadi musuh kepada apa yang mereka tidak mengetahuinya." Baqir al-Sadr RH berkata:"Sekiranya saudara-saudara kami Ahlus Sunnah membaca buku-buku mereka, nescaya mereka sependapat dengan kami dan perselisihan dapat diselesaikan semenjak awal lagi." Dan kami berkata:"Apa salahnya tahu, kerana kalian bukan semestinya beramal dengan apa yang kalian tahu."
Oleh itu tujuan penterjemahan buku ini adalah untuk akademik yang tinggi bagi mencapai matlamat wawasan 2020 dan ianya bukanlah untuk kita bertukar mazhab kerana apa yang penting ialah mencintai Ahlu l-Bait Rasulullah SAW dengan hakikat yang sebenarnya. Buku ini juga telah diterjemahkan ke dalam beberapa bahasa utama di Eropah dan telah dibaca oleh berbagai lapisan masyarakat Islam dan juga bukan Islam. Semoga ianya akan memperluaskan wawasan pemikiran Islam di Nusantara berdasarkan keilmuan yang tinggi.
Akhir sekali, kami bertawakkal kepada Allah yang Maha Perkasa dan Maha Adil di dalam segala-galanya
(Ahlulbaytku/Berbagai-Sumber-Lain/ABNS)
Posting Komentar