Oleh: Syeikh Muhammad Mar’i al-Amin al-Antaki (Ulama dan mufti Suriah)
Selepas Rasulullah SAW wafat, berlaku peristiwa pemilihan khalifah di Saqifah Bani Sai'dah. Ketika itu jenazah Nabi SAW belum dikebumikan dan masih berada di masjid (rumahnya).Orang-orang Ansar berkumpul di Saqifah Bani Saidah iaitu satu balai yang pada zaman jahiliyyah digunakan untuk pesta-pesta yang bercampur dengan maksiat. Mereka mahukan pemimpin dari kalangan mereka sendiri. Kemudian datang Umar al-Khattab, Abu Bakar dan Abu Ubaidah al-Jarrah. Akhirnya berlaku pertelagahan di antara golongan Muhajirin dan Ansar yang masing-masing mahukan seorang pemimpin dari kalangan mereka. Abu Bakar kemudian menyatakan kelebihan golongan Muhajirin berbanding dengan golongan Ansar iaitu dekatnya hubungan mereka dengan Rasulullah SAW di samping mereka merupakan golongan yang mula-mula menerima Islam. Abu Bakar juga menguatkan hujahnya dengan memetik Hadith Nabi SAW: " Pemimpin adalah dari golongan Quraisy."
Beliau kemudian membuat satu usul: "Saya mencadangkan kepada kamu satu dari dua orang (Umar atau Abu Ubaidah al-Jarrah), terimalah siapa yang kamu senangi."
Beliau kemudian mengangkat tangan Umar al-Khattab dan Abu Ubaidah al-Jarrah. Seorang Ansar mencadangkan dua orang pemimpin iaitu seorang pemimpin dari kalangan Ansar dan seorang pemimpin lagi dari kalangan Muhajirin. Keadaan menjadi tegang. Umar kemudian berkata:" Bentangkan tangan anda wahai Abu Bakar!." Ia menbentangkan tangannya, lalu Umar membai'ahnya. Golongan Muhajirin mengikuti langkah Umar dan seterusnya golongan Ansar. Dengan ini Abu Bakar telah diba'ah menjadi khalifah yang pertama di Saqifah Bani Sai'dah.
Ali AS tidak memberi bai'ah kepada Abu Bakar selama 6 bulan selepas kewafatan Rasulullah SAW. Fatimah 'Alaiha Salam tidak memberi bai'ah dan tidak bercakap kepada khalifah Abu Bakar sehingga beliau wafat. Fatimah AH amat marah kepada khalifah Abu Bakar dan beliau telah mewasiatkan kepada Ali AS agar mengkebumikan jenazahnya pada malam hari tanpa mengumumkan kepada khalifah Abu Bakar [Lihat Sahih Bukhari, Jilid V, hadith 546].
lHadith Rasul SAW juga memberi amaran tentang keutamaan Fatimah AH seperti yang tercatat dalam Sahih Bukhari:" Fatimah sebahagian daripadaku, dan sesiapa yang membuat Fatimah marah, akan juga membuat aku marah "[Sahih Bukhari, Jilid V, hadith 61 ]. Dan jika Fatimah AH marah kepada khalifah Abu Bakar sehingga tidak bercakap dan mengelakkan kuburnya daripada diketahui oleh khalifah Abu Bakar, adakah perkara ini tidak membuat Rasulullah SAW marah kepada Abu Bakar jika kita berpandukan hadith di atas?
Ada orang berpendapat Hadith di atas ditujukan kepada Ali AS kerana ada sebuah Hadith menyatakan Ali kononnya berhasrat untuk berkahwin dengan anak Abu Jahal? Jika benar Ali AS mahu berkahwin lain, adakah ia bercanggah dengan syariat Islam yang membenarkan lelaki berkahwin lebih daripada satu, dua, tiga hingga bilangan empat? Jika tidak bercanggah dengan syariat Islam maka wajarkah Rasul SAW marah kepada Ali di atas perkara yang sejalan dengan kehendak Islam? Konsekuen yang lebih jauh ialah jika Rasul SAWA marah kepada Ali AS, juga membawa kepada kemurkaan Allah SWT. Adakah Allah SWT yang membuat syariat tentang hukum perkahwinan itu murka kepada Ali AS yang menurut syariat tersebut? Tidak mungkin hadith itu benar kerana ia bercanggah dengan kehendak hukum Islam sendiri. Jelas bahawa hadith itu bersifat umum, dan tidak ditujukan kepada Ali AS. Lebih-lebih lagi terdapat Hadith yang menyebutkan :" Anta (Ali) min-ni wa ana min-ka " bermaksud," engkau(Ali) daripadaku (Rasulullah SAWA) dan aku (Rasulullah SAWA) daripada Ali," [lihat Sahih Bukhari, Jilid V, Hadith 50], dan juga Hadith: " Ya Allah tempatkanlah kebenaran di mana juga Ali berada" [lihat teks Hadith Sahih Tirmidzi di bawah (no.4].
Hadith-hadith ini membuktikan tindakan Ali AS sentiasa selaras dengan kehendak Nabi SAWA dan jika kita menolak tafsiran ini,kita akan mengundang satu kesimpulan " doa Nabi SAWA "Ya Allah tempatkanlah kebenaran di mana juga Ali berada" tidak dimakbulkan oleh Allah SWT "; kesimpulan ini pasti tidak boleh terjadi sama sekali terhadap Rasulullah SAW yang mulia di sisi Allah SWT. Oleh itu hadith tentang kemarahan Fatimah AH terhadap Ali AS kerana Ali AS hendak berkahwin lain tidak boleh diterima kesahihannya.
Sebaliknya lebih sesuai jika kemarahan "Fatimah- kemarahan Rasul SAW" itu ditujukan kepada Abu Bakar kerana peristiwa yang dinyatakan di atas walaupun ia berlaku selepas kewafatan Rasulullah SAWA.
Kemarahan Fatimah AS bukan kerana mengikut hawa nafsu, tamak dan kepentingan duniawi tetapi kerana haknya dirampas iaitu hak Tanah Fadak yang telah dihadiahkan oleh Rasulullah SAWkepadanya dan hak suaminya terhadap jawatan khalifah yang telah dinyatakan oleh ayahnya, Rasulullah SAW ketika di Ghadir Khum. Fatimah AH adalah salah seorang ahli Hadith Kisa yang berkaitan ayat 33, Surah al-Ahzab yang telah disucikan oleh Allah SWT - suci dari dosa-dosa selama-lamanya tidak boleh dianggap melakukan suatu perkara yang menyalahi tuntutan syariat. (Fatimah mahu menegaskan tuntutan Hadith tersebut kepada umat Islam yang mahu berfikir.) Maka kemarahan Fatimah AH kepada Abu Bakar adalah kerana suatu tuntutan syariat yang tidak dilaksanakan oleh Abu Bakar iaitu berkenaan Tanah Fadak dan berpegang teguh kepada Hadith al-Ghadir - kepimpinan Ahlul Bayt yang bermula dengan Imam Ali AS. Dan ini menepati hadith,
" sesiapa yang membuat Fatimah marah, akan membuat aku (Rasulullah SAW) marah."
"Kemarahan Fatimah AH- kemarahan Nabi SAW" ialah kerana umat Islam yang diketuai oleh Abu Bakar ketika itu tidak berpegang kepada Hadith al-Ghadir. Kita yakin Nabi SAWA telah mengetahui perkara yang akan berlaku selepas kewafatannya (misalnya Fatimah AH akan meninggal dunia tidak lama selepas kewafatan Nabi SAW (Sahih Bukhari, Jilid V, Hadith 62) - hadith tersebut sebagai satu peringatan kepada mereka tetapi mereka tidak menghiraukannya!
Dan sudah tentu kita berkeyakinan dengan seteguh-teguhnya bahawa Rasulullah SAW tidak bercakap tentang sesuatu perkara secara main-main atau sia-sia berkaitan dengan Ahlul Baytnya itu. Oleh itu apabila Fatimah AH marah kepada Abu Bakar, ini bermakna Rasulullah SAW juga marah kepada Abu Bakar dan apabila Rasul SAWA marah, juga membuat Allah SWT marah kepada Abu Bakar. Tetapi jika kita menolak tafsiran ini, kita seolah-olah menyatakan Nabi SAW bercakap secara suka-suka dan main-main tentang Ahlul Baytnya dan lebih teruk lagi (a'uzubilah min zalik) beliau SAW seolah-olah tidak mengetahui makna dan implikasi ucapannya itu kepada ummah akan datang dan kesimpulan ini tentu tidak boleh diterima sama sekali kerana ia berlawanan dengan sifat Rasul SAW yang bersifat bijaksana.
[Kisah Saqifah itu boleh dirujuk kepada buku " Saqifah Awal Perselisihan Umat", O.Hashem, DarulFikir, 1987]
RENUNGAN: : Al-Quran: al-Thaha: 29-32 [bermaksud:"..dan jadikanlah untukku seorang wazir dari keluargaku, iaitu Harun, saudaraku, teguhkanlah dengan dia kekuatanku, dan jadikanlah dia sekutu dalam urusanku."
(Ahlulbaytku/Berbagai-Sumber-Lain/ABNS)
Posting Komentar