Oleh: Syeikh Muhammad Mar’i al-Amin al-Antaki (Ulama dan mufti Suriah)
Iaitu firmanNya yang di dalam (surah Ali Imran (3): 61)"Sesiapa yang membantahmu mengenai (kisah 'Isa) sesudah datang ilmu (yang menyakinkan kamu), maka katakanlah (kepadanya): Marilah kita memanggil anak-anak kami dan anak-anak kamu, wanita-wanita kami dan wanita-wanita kamu, diri kami dan diri kamu; kemudian marilah kita bermubalahah kepada Allah dan kita minta supaya laknat Allah ditimpakan kepada orang-orang yang dusta."
Semua ulama Tafsir Sunnah dan Syi'ah bersepakat bahawa ayat al-Mubahalah diturunkan kepada lima manusia suci; Muhammad, 'Ali, Fatimah, Hasan dan Husain. Di sana terdapat para sahabat lelaki tetapi beliau tidak memanggil seorang pun daripada mereka selain daripada 'Ali, Hasan dan Husain. Kemudian di sana juga terdapat Ummahat al-Mukminin dan wanita-wanita Bani Hasyim, tetapi beliau tidak memanggil seorangpun daripada mereka selain daripada anak kandungnya Fatimah al-Zahra' AS.
Satu hakikat yang tidak dapat disembunyikan lagi oleh orang yang mempunyai pandangan yang tajam bahawa maksud Anfusa-na (diri kami) di sini ialah saudara Rasulullah SAW yang kedudukannya di sisi Rasulullah SAW samalah dengan kedudukan Harun di sini Musa. Beliau ialah Imam Amiru l-Mukiminin 'Ali AS kerana Allah menjadikannya ('Ali AS) di dalam ayat ini nafs Muhammad SAW (diri Muhammad itu sendiri).
Demi Allah sesungguhnya itu adalah keistimewaan yang besar yang dikhususkan oleh Allah SWT kepada mereka dan tidak ada orang lain selain daripada mereka dari umat ini. Ibn Hajr telah menyebutkannya di dalam al-Sawa'iq al-Muhriqah di dalam bab kesebelas riwayat daripada al-Dar al-Qutni bahawa 'Ali di majlis Syura ('Umar) telah berhujah dengan menyatakan: Aku menyeru kalian dengan nama Allah adakah kalian seorang yang lebih hampir kepada Rasulullah dari segi kekeluargaan selain daripadaku? Dan siapakah yang telah dijadikan dirinya oleh beliau seperti dirinya sendiri? Anak-anaknya seperti anak-anaknya dan wanita-wanitanya seperti wanita-wanitanya selain daripadaku? Mereka menjawab: Allahuma la. Wahai Tuhanku! Tidak ada seorang pun selain daripada anda sekeluarga. Seorang penyair yang memuji Imam 'Ali AS mengemukakan syairnya:
Dia di dalam ayat al-Tabahul adalah diri Nabi sendiri
Tiada selain daripadanya ('Ali) yang dimaksudkan dengannya.
Kemudian hadith al-Mubahalah adalah masyhur dan disebutkan oleh Ahli Tafsir, Hadith dan Sirah. Mereka menulis peristiwa itu pada tahun kesepuluh Hijrah iaitu tahun Mubahalah. Fakhruddin al-Razi di dalam Mafatih al-Ghaib berkata: Ketahuilah, sesungguhnya riwayat ini adalah seperti disepakati kesahihannya di kalangan Ahli-ahli Tafsir, Hadith dan lain-lain.
Al-Zamakhsyari di dalam al-Kasysyaf mengenai ayat al-Mubahalah berkata: Ianya diriwayatkan manakala Rasulullah SAW menyeru Kristian Najran untuk bermubahalah, mereka berkata: Kami akan pulang dan kami akan membuat keputusannya. Manakala mereka pergi, mereka berkata kepada 'Aqib seorang yang pintar mereka, wahai hamba al-Masih apa pandangan anda? Dia menjawab: Demi Allah sesungguhnya kalian telah mengetahui bahawa sesungguhnya Muhammad adalah seorang Nabi yang diutuskan. Dia telah mendatangi kalian dengan keterangan daripada Tuhan kalian. Demi Allah tidak ada satu kaumpun yang pernah bermubahalah dengan seorang Nabi sehingga yang kecil dan besar mereka dapat hidup. Sekiranya kalian lakukan, nescaya kalian akan binasa. Dan sekiranya kalian enggan bermubahalah maka dia akan membiarkan agama kalian dan kalian kekal dengan agama kalian. Lantaran itu ucaplah selamat tinggal kepada lelaki itu dan kembalilah ke tempat kalian.
Maka merekapun datang kembali menemui Rasulullah SAW pada ketika itu beliau sedang mendukung Husain, memegang tangan Hasan, Fatimah berjalan di belakangnya dan 'Ali di belakang Fatimah AS. dan bersabda:Tidakkah aku telah menyeru kalian maka berimanlah. Lalu Bisyop Najran menjawab: Wahai kaum Nasara! Sesungguhnya aku sedang melihat kepada muka-muka mereka, sekiranya Allah mahu menghilangkan bukit dari tempatnya, nescaya Dia akan menghilangkannya melalui kemuliaan muka-muka mereka. Justeru itu janganlah kalian bermubahalah, nanti kalian akan binasa, dan tidak tinggal lagi seorang Nasranipun di bumi ini hingga di Hari Kiamat. Mereka berkata: Wahai Abu Qasim, kami fikir kami tidak akan bermubahalah dengan anda sebaliknya kami mengakui anda di atas agama anda sementara kami kekal di atas agama kami. Nabi SAW menjawab:"Sekiranya, kalian enggan bermubalahah, maka masuklah Islam. Kalian akan dilayani dengan baik dan mendapat hak seperti mereka."
Lantas mereka menolaknya, kemudian beliau SAW bersabda: Aku melepaskan kalian. Mereka menjawab: Kami tidak mampu untuk memerangi Arab, justeru itu kami membuat perdamaian dengan anda supaya anda tidak memerangi kami, menakut-nakutkan kami dan memaksa kami supaya meninggalkan agama kami. Sebagai balasan kami akan memberikan kepada anda setiap tahun dua ribu Hillah, seribu pada bulan Safar, dan seribu pada bulan Rajab, dan tiga puluh baju besi biasa.
Maka beliau SAW mengadakan perdamaian dengan mereka dengan syarat-syarat tersebut. Beliau bersabda: Demi diriku di tangannya sesungguhnya kebinasaan telah jelas ke atas ahli Najran. Dan sekiranya mereka bermubahalah, nescaya mereka bertukar menjadi kera dan babi serta lembah ini menjadi api membakar mereka. Allah SWT akan melenyapkan Najran dan penduduk-penduduknya sekali sehingga burung yang hinggap di atas pokok." Manakala genap setahun mereka dibinasakan (kerana tidak menepati janji mereka).
Daripada 'Aisyah RD: Sesungguhnya Rasulullah SAW keluar dengan meletakkan kain hitam di atasnya. Maka Hasan pun datang, lalu beliaupun memasukkannya, kemudian Husain maka beliau memasukkannya, kemudian Fatimah, kemudian 'Ali, lalu beliau membaca ayat at-Tathir (Surah al-Ahzab (33):33)"Sesungguhnya Allah bermaksud hendak menghilangkan segala dosa dari kamu wahai Ahlu l-Bait dan membersihkan kamu sebersih-bersihnya."
Ini menunjukkan tidak ada dalil yang lebih kuat daripada ini tentang kelebihan Ashab al-Kisa' AS. Aku berkata: Ianya suatu kemuliaan yang sejati dan penghormatan yang agung di mana Dia tidak akan mengurniakan seorangpun dengannya sebelum dan selepas mereka. Dan ketahuilah sesungguhnya hadith-hadith muktabar yang diriwayatkan adalah mutawatir tentang turunnya ayat ini mengenai Ahlu l-Bait AS, 'Ali, Fatimah, Hasan dan Husain AS. Ianya telah dicatat oleh Ahli-ahli Tafsir, Hadith dan Sirah. Semuanya mencatat peristiwa-peristiwa tahun kesepuluh Hijrah iaitu Tahun Mubahalah.
Di sini aku ingin mengemukakan kepada pembaca yang budiman, sebahagian daripada nama-nama para imam Ahlu s-Sunnah wal-Jama'ah yang menulis mengenai seperti berikut:
Muslim di dalam Sahihnya mengatakan bahawa Qutaibah bin Sai'd dan Muhammad bin 'Ubbad telah memberitahukannya kepada kami dengan lafaz yang hampir sama. Mereka berdua berkata: Hatim telah memberitahukan kami (iaitu anak lelaki Ismail) daripada Bakir bin Miswar daripada 'Amir bin Sa'ad bin Abi Waqqas daripada bapanya dia berkata: Muawiyah bin Abu Sufyan memerintahkan Sa'ad bahawa dia berkata: Apa yang menegah anda dari mencaci Abu Turab ('Ali AS)? Maka dia menjawab: Aku mengingati tiga perkara di mana Rasulullah SAW mengucapkan kepadanya. Justeru itu aku sekali-kali tidak akan mencacinya kerana jikalaulah aku mempunyai satu perkara sahaja adalah lebih aku cintai daripada segala nikmat; sehingga dia berkata: Manakala turun ayat al-Mubahalah: Maka katalah:"Marilah kita memanggil anak-anak kami dan anak-anak kamu, wanita-wanita kami dan wanita-wanita kamu." Maka Rasulullah SAW menyeru 'Ali, Fatimah, Hasan, dan Husain. Dia bersabda: Allahumma Haula' Ahli (Wahai Tuhanku! Mereka itu adalah keluargaku).
Ahmad bin Hanbal di dalam Musnadnya berkata:'Abdullah telah memberitahukan kami dia berkata:Bapaku memberitahuku dia berkata: Qutaibah bin Sa'id dan Hatim bin Isma'il telah memberitahukan kami daripada Bakir bin Mismar daripada Amir bin Saad daripada bapanya dia berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda kepadanya: Dia berkata: Manakala turun ayat al-Mubahalah maka beliau SAW menyeru 'Ali, Fatimah, Hasan dan Husain dan bersabda:Wahai Tuhanku, mereka itulah keluargaku.
Al-Tabari di dalam Jami' al-Bayan telah mengeluarkan banyak hadith-hadith mengenai ayat al-Mubahalah dengan saluran yang bermacam-macam daripada Zaid bin 'Ali al-Sudi, Qatadah, Thana bin Zaid dan daripada al-Yasykari.
Al-Suyuti di dalam al-Durr al-Manthur daripada Jabir dia berkata di akhirnya: Jabir berkata: Anfusa-nawa anfusa-kum (diri kami dan diri kamu):Rasulullah SAW dan 'Ali AS wa abnaa-na (anak-anak lelaki kami):Hasan dan Husain dan Nisaa-ana(wanita-wanita kami): Fatimah.
Al-Wahidi di dalam Asbab al-Nuzul berkata pada akhirnya:Sya'bi berkata: Abnaa-na (anak-anak lelaki kami):Hasan dan Husain dan Nisaa-na (wanita-wanita kami):Fatimah, Wa anfusa-na (diri-diri kami):'Ali bin Abi Talib AS.
Al-Qunduzi al-Hanafi di dalam Yanabi' al-Mawaddah meriwayatkan bahawa 'Ali bin Abi Talib AS adalah nafs Rasulullah (diri Rasulullah sendiri) sejajar dengan nas tersebut.
Al-Syablanji di dalam Nur al-Absar menyatakan bahawa maksud Nisaa-na (wanita-wanita kami) ialah Fatimah, Abnaa-na (anak-anak lelaki kami) ialah Hasan dan Husain, Anfusa-nanafsu-hu dirinya sendiri dan diri 'Ali AS. (diri-diri kami) ialah
Muhibbudin al-Tabari di dalam Dhakha'ir al-'Uqba.
Al-Kanji al-Syafi'i di dalam Kifayah al-Talib
al-Hakim di dalam al-Mustadrak.
Abu Nu'aim di dalam Dala'il al-Nubuwwah.
al-Baghawi di dalam Ma'alim al-Tanzil.
Fakhruddin al-Razi di dalam Mafatih al-Ghaib.
Al-Dhahabi di dalam al-Talkhisnya.
Ibn al-Athir al-Jazari di dalam Usd al-Ghabah.
Sibt al-Jauzi di dalam Tadhkirah al-Huffaz.
Al-Qurtubi di dalam Jami' li Ahkam al-Qur'an.
Al-Baidhawi di dalam Anwar al-Tanzil.
Ibn Hajr al-'Asqalani di dalam al-Isabah.
Syaikh Muhammad bin Talhah al-Syafi'i di dalam Matalib al-Su'ul, menyatakan bahawa ayat al-Mubahalah telah diriwayatkan oleh perawi-perawi yang thiqah bahawa ianya diturunkan pada 'Ali, Fatimah, Hasan dan Husain AS.
Dan ramai lagi bilangan para imam Ahlu s-Sunnah yang aku tidak dapat menyebutkan nama mereka di dalam buku ini. Semuanya menegaskan bahwa ayat ini diturunkan kepada lima manusia yang suci. Imam Bahrani telah menyatakan di dalam Ghayah al-Maram bahawa ayat ini telah diturunkan kepada 'Ali, Fatimah, Hasan dan Husain AS. melalui sembilan belas hadith menurut Ahlu s-Sunnah dan lima belas hadith menurut Syi'ah. Ayatullah al-Najafi telah menyebutkan nama-nama para ulama Ahlu s-Sunnah yang menyatakan bahawa ayat al-Mubahalah diturunkan kepada lima manusia yang suci di dalam Ta'liqatuhu 'Ala Ihqaq al-Haq.
Justeru itu aku membuat kesimpulan bahawa khalifah yang wajib selepas Rasulullah SAW ialah 'Ali bin Abi Talib AS kerana 'Ali di dalam ayat tersebut ialah nafs Muhammad SAW. Dengan ilmunya, akhlaknya, kemuliaannya, keberaniannya, lemah lembutnya, kasihan belasnya terhadap orang-orang yang lemah, garangnya terhadap orang yang zalim dan kedudukannya yang tinggi di sisi Allah selain daripada kenabian, bersandarkan sabda Nabi SAW maksudnya:"Anda di sisiku sepertilah kedudukan Harun di sisi Musa hanya tiada Nabi selepasku." Lantaran itu seorangpun tidak harus mendahuluinya kerana 'mendahuluinya' sepertilah mendahului Rasulullah SAW. Oleh itu berwaspadalah anda dan insaflah wahai pembaca yang budiman.
(Ahlul-Baitku/Berbagai-Sumber-Lain/ABNS)